Al-Falah Care USJ 9

PENDAHULUAN
Al-Falah Care USJ 9 diinspirasi oleh Ustaz Muhammad Hakimi bin Mustapai ketika beliau dilantik menjadi Pegawai Masjid (Imam III) pada November 2013 yang seterusnya menjadi penyelaras bagi aktiviti mualaf di Masjid Al-Falah USJ 9.

Antara aktiviti yang dianjurkan pada masa tersebut adalah Kelas Fardhu Ain Mualaf (KFAM) yang bernaung di bawah Bahagian Pendidikan Mualaf masa itu (sekarang bernaung di bawah Lembaga Zakat Selangor), bantuan kewangan, sesi kuliah khas dan aktiviti ziarah menziarahi mereka yang ditimpa musibah.

Kemudian Al-Falah Care USJ 9 (Unit Mualaf) diletakkan di bawah Biro Kebajikan, Kemasyarakatan dan Sosial Masjid al-Falah untuk penyelarasan bantuan kebajikan kepada mualaf dan lain-lain asnaf zakat di kawasan kariah Masjid Al-Falah USJ 9.

Bermula sesi 2023-2025, Al-Falah Care USJ 9 adalah nama baru bagi Biro Kebajikan, Kemasyarakatan dan Sosial untuk lebih menterjemahkan aktiviti kebajikan kepada ahli kariah dan juga mereka yang memerlukan.

MATLAMAT

  1. Menyalurkan sumbangan kebajikan kepada mereka yang memerlukan seperti asnaf zakat, keluarga kurang berkemampuan, kecemasan, kebajikan dan sebagainya.
  2. Merapatkan hubungan antara ahli kariah dan Masjid Al-Falah USJ 9.
  3. Mengurangkan jurang kemiskinan dengan menjadi perantaraan kepada pihak Lembaga Zakat Selangor.
  4. Menggalakkan ahli kariah untuk bantu membantu.

STRUKTUR ORGANISASI

Penaung: Yang Berbahagia Tan Sri Dato Seri Syed Zainal Abidin (Nazir Masjid Al-Falah)

Pengerusi: Yang Berusaha Tuan Haji Abdullah Sani (abdullahsani.masjidalfalah.com)

Timbalan Pengerusi: Yang Berusaha Muhammad Hakimi bin Mustapai (wa.hakiminur.com)
(juga merupakan Ketua Penolong Amil Kariah (KPAK) yang dilantik oleh Lembaga Zakat Selangor)

Ahli Lembaga:
Yang Berusaha En Hasmi bin Hussain
Yang Berusaha Puan Hajah Ruhana binti Alias

Wakil kawasan:
Encik Ikhsan
Puan Nor Azlina
Puan Fadhlina

Ahli:
Asnaf Zakat LZS (Fakir, Miskin, Mualaf)
Keluarga yang memerlukan (tak layak asnaf zakat – miskin bandar)
Warga OKU
Anak-anak yatim
(Kesemua mereka di atas mesti berdaftar di bantuankebajikan.masjidalfalah.com. Jika lulus, akan dijemput masuk ke kumpulan Whatsapp Al-Falah Care USJ 9)

AKTIVITI KEBAJIKAN

Sepanjang masa:
Bantuan Keperluan Asas seperti beras, minyak, garam, gula, susu, teh/kopi, sardin, biskut, gandum dan sebagainya. Bantuan ini adalah bergantung kepada sumbangan para jemaah samada secara wang ringgit atau barangan. Barangan yang disumbangkan boleh diletakkan di Kotak Infaq di hadapan pejabat Al-Falah Care USJ 9 atau di almari infaq di Mydin USJ 1. Status agihan adalah bergantung sepenuhnya kepada stok yang ada. Pihak kami tidak menjamin status stok yang ada.

Berkala:
Antara aktiviti kebajikan berkala yang dianjurkan oleh pihak Al-Falah Care USJ 9 dengan hebahan permohonan sumbangan dari pihak jemaah adalah seperti berikut:
1. Kembali ke Sekolah (KKS / Back to School). Kebiasaan sumbangan adalah berupa wang tunai, penyampaian beg dan barangan keperluan asas sumbangan rakan kerjasama strategik kami.
2. Jariah Ramadan. Sumbangan untuk menyambut kehadiran Ramadan. Bergantung kepada peruntukan yang kami ada. Jika tidak dapat dilaksanakan, akan digabungkan menjadi Jariah Aidilfitri untuk persediaan ahli Al-Falah Care menyambut kehadiran Aidilfitri.
3. Jariah Aidiladha. Agihan daging korban yang dilaksanakan di Masjid Al-Falah USJ 9.
4. Program Berkhatan Beramai-ramai. Kerjasama dengan mana-mana klinik yang terpilih. Penyertaan adalah terbuka tetapi keutamaan kepada ahli Al-Falah Care dan keluarga yang kurang berkemampuan.
5. Majlis Ilmu Untuk Asnaf. Bermula 2023, kami akan hidupkan majlis ilmu untuk asnaf sekali sebulan, in shaa Allah.

6. Projek Kalendar. Kami juga akan mengusahakan untuk menerbitkan kalendar khas setiap tahun untuk kempen sumbangan kepada aktiviti kebajikan kami. Kos penerbitan akan ditanggung melalui sumbangan khas rakan kerjasama strategik kami.

KERJASAMA DARI PARA JEMAAH DAN UMUM

Pihak kami bergantung sepenuhnya kepada sumbangan tuan/puan. Tiada sebarang perniagaan yang kami lakukan untuk jana kewangan semasa kepada tabung Al-Falah Care.

Untuk menyumbang, sila salurkan sumbangan tuan/puan ke:
MASJID AL-FALAH USJ 9
1206 5010 009 005
BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD
(wajib untuk tulis di description: Kebajikan)

Sumbangan tanpa decription: Kebajikan akan dikira sebagai sumbangan operasi.
In shaa Allah, pihak kami akan usahakan QR-Code khas untuk Kebajikan selepas ini.

Terima kasih atas sumbangan. Kami doakan tuan/puan dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan dunia akhirat serta tuan/puan dilapangkan segala urusan dunia. In shaa Allah.

PROJEK GERAKKAN EKONOMI AL-FALAH CARE

Antara ahli-ahli kami, ada kalangan mereka yang merupakan peniaga kecil-kecilan di kawasan kariah Masjid. Ayuh sama-sama kita bantu tingkatkan ekonomi mereka dengan dapatkan hasil perniagaan mereka. Sedap, beritahu orang lain. Tak sedap, maklumkan kepada mereka untuk penambaikan kualiti dan mutu produk mereka.