Kempen Jejak Kemiskinan 2024

[Al-Falah Care USJ 9]
28 Safar 1446H
02 September 2024M

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semoga tuan/puan sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa berada dalam kemanisan iman dan Islam, in shaa Allah.

Terima kasih kerana melawati halaman ini. Pasti tuan/puan datang ke sini melalui kod QR yang kami pamerkan di kain rentang di surau-surau dalam kawasan kariah Masjid Al-Falah USJ 9.

Sepanjang bulan September 2024, pihak kami akan menganjurkan kempen Jejak Kemiskinan untuk kami mengesan dan menjejak para penduduk di dalam kariah masjid kami (termasuk juga mereka yang bukan beragama Islam) untuk kami santuni dan bantu sesuai dengan kemampuan yang kami ada. Buat masa ini, bantuan yang dapat kami sampaikan adalah barangan keperluan asas yang juga disumbangkan oleh jemaah Masjid dan masyarakat yang sentiasa prihatin dengan mereka yang tidak bernasib baik. Tiada tarikh khas untuk agihan bantuan kerana bergantung sepenuhnya kepada stok yang kami ada. Kami akan menghubungi mereka yang terpilih untuk maklumat agihan. Tarikh tutup kempen kami ini adalah pada 30hb September 2024M. Untuk penerima bantuan yang ada dalam rekod kami sekarang ini, tidak perlu mengisi borang ini.

Kategori yang kami cari adalah:
1. Pendapatan keluarga yang tidak melebihi RM2000 sebulan termasuk sumbangan dari agensi atau lain-lain seperti sewa rumah dan sebagainya. Sasaran kami adalah keluarga sahaja iaitu terdiri dari suami, isteri dan anak-anak atau mungkin ibubapa yang tinggal bersama.
2. Mempunyai tanggungan OKU. Pihak kami telah senaraikan dalam borang atas talian, senarai kategori OKU yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
3. Mempunyai tanggungan pesakit terlantar. Maksud terlantar adalah sentiasa terbaring di katil. Atau boleh dimaksudkan yang tidak mampu berjalan seperti biasa (contoh: menggunakan kerusi roda dan sebagainya).

Jika tuan/puan beragama Islam, dan merupakan warganegara Malaysia, pihak kami mengalu-alukan tuan/puan untuk memohon bantuan zakat dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) di bawah asnaf Fakir atau Miskin (bergantung kepada terma dan syarat dari LZS).

Tuan/puan boleh mengisi borang atas talian kami di bawah mengikut kategori yang ditentukan. Jika tuan/puan berpendapatan bawah RM2000 sebulan, mempunyai tanggungan OKU dan juga tanggungan pesakit terlantar, cukup untuk pilih kategori berpendapatan bawah RM2000. Tiada sebarang dokumen yang diperlukan untuk dimuatnaik. Hanya perlu isi borang atas talian sahaja. Kami akan jemput masuk ke dalam kumpulan Whatsapp dan akan ada borang seterusnya perlu diisi dan muatnaik untuk rekod kami.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.