Tabung Infaq Makanan

[Al-Falah Care USJ 9]
12 Syaaban 1445H
22 Februari 2024M

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semoga tuan/puan sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat dan berada dalam kemanisan iman dan Islam, in shaa Allah.

Al-Falah Care USJ 9 menjemput dan mempersilakan kepada para dermawan untuk menyokong aktiviti kebajikan kami dengan menyumbang barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak, gandum dan sebagainya untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Walaupun barangan asas tersebut makin meningkat harganya, namun kami yakin para dermawan kami sentiasa berusaha untuk membantu mereka dalam kesusahan dan kesulitan. Kerana mereka beriman dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya” (2: 261).

Pihak kami menerima samada sumbangan berbentuk barangan yang diletakkan di dalam kotak Tabung Infaq Makanan yang disediakan di hadapan kabin Al-Falah Care USJ 9 ataupun melalui pindahan bank:
1. Imbasan Kod QR yang disediakan di poster. Kod QR ini adalah khas untuk sumbangan kebajikan sahaja.
2. Pindahan bank ke akaun Masjid Al-Falah, 12065010009005 (Bank Islam). Pastikan tulis di Ref: Sumbangan Kebajikan untuk rekod audit kami.

Sebagai makluman, pihak kami sama sekali tidak menerima sumbangan pakaian terpakai. Kami pun tidak tahu bagaimana nak uruskan pakaian terpakai ini. Mohon untuk kerjasama tuan/puan untuk rujuk Pusat Kitar Semula MBSJ atau juga kabin pakaian terpakai di stesen minyak (jika ada) untuk tindakan lanjut.

Apa pula kaitan dengan pampers dewasa itu? Kami dihubungi oleh seseorang mohon untuk terima pampers tersebut kerana suaminya telah meninggal dunia. Orang dah bertanya, kami raikan sahaja.

Terima kasih kepada para penyumbang.
Terima kasih kepada para pendokong dan penyokong.
Semoga Allah merahmati kita semua.

Masjid kita tanggungjawab bersama.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.