Masjid Al-Falah mempunyai kemudahan sekolah KAFA yang diberi nama Sekolah Agama Rakyat Masjid Al-Falah (SARMAF). Ia ditubuhkan pada Disember 2000. Jumlah guru dan kakitangan ialah 29 orang. Bilik darjah berjumlah 24 buah termasuk sesi pagi dan petang, dan jumlah murid-murid ialah 800 orang. Peperiksaan utama di KAFA(I)MAF adalah Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK). Sijil PSRA akan membantu pelajar-pelajar untuk melanjutkan pelajaran di sekolah-sekolah agama di bawah penyeliaan JAIS. Manakala pelajar-pelajar yang cemerlang di dalam UPKK pula berpeluang untuk memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh agama dan juga integrasi di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Di dalam tahun 2011, peperiksaan UPKK Tahun 5, seramai 32 orang mendapat 8A manakala peperiksaan PSRA, seramai 8 orang murid mendapat Gred Mumtaz (90% ke atas) KAFA(I)MAF bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah juga dalam bidang kokurikulum. Pada tahun 2011, KAFA(I)MAF telah berjaya mendapat Naib Johan KAMIL peringkat negeri bagi ketiga-tiga acara iaitu Marhaban (L), Solat Jenazah (L) dan menulis Khat Tahap 1 (P).